PTPTN sedia 4 saluran baharu bayar pinjaman, simpanan – freemalaysiatoday
PETALING JAYA: Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) hari ini memperkenalkan empat saluran baharu pembayaran balik pinjaman PTPTN dan simpanan dalam Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) secara dalam talian.
Empat saluran berkenaan adalah menerusi aplikasi Shopee, kiplePay, BESTPay dan KelantanPAY.
Ketua Eksekutif PTPTN, Ahmad Dasuki Abdul Majid berkata kemudahan saluran bayaran dalam talian ini bertepatan dengan gaya hidup norma baharu yang menggalakkan masyarakat menggunakan teknologi di hujung jari dalam usaha memutuskan rantaian Covid-19.
“Dalam situasi pandemik Covid-19 yang melanda negara ketika ini, kaedah bayaran secara dalam talian adalah alternatif terbaik bagi membantu masyarakat menunaikan tanggungjawab mereka sebagai peminjam dan dapat menyimpan dalam SSPN secara konsisten tanpa perlu keluar rumah untuk ke kaunter PTPTN.
“Pendekatan bayaran secara dalam talian ini juga adalah sebahagian usaha ke arah pendigitalan PTPTN secara menyeluruh bagi penyampaian perkhidmatan dalam talian berbentuk hujung ke hujung,” katanya ketika berucap merasmikan saluran baharu itu yang disiarkan secara maya di Facebook rasmi agensi berkenaan.
Dalam pada itu, Ahmad Dasuki berkata sebagai agensi di bawah Kementerian Pengajian Tinggi, PTPTN sentiasa peka dengan kehendak pelanggannya.
“Saluran baharu yang dilancarkan ini boleh digunakan oleh pelanggan PTPTN dengan mudah, cepat dan selamat.
“PTPTN berharap dengan adanya penambahan saluran bayaran secara dalam talian dan kempen yang dianjurkan akan menjadi pemudah cara dan menggalakkan pelanggan membuat bayaran balik pinjaman dan penabungan SSPN sekaligus dapat memperkasakan perkhidmatan PTPTN kepada masyarakat,” katanya.
Sempena pelancaran saluran baharu itu, PTPTN dengan kerjasama empat penyedia perkhidmatan berkenaan menganjurkan kempen ‘Click, Pay & Earn’, yang mana pengguna terawal berpeluang menerima pemberian “cash back” dan tunai.
Kempen ini berlangsung selama sebulan bermula hari ini hingga 24 Jun depan.
Sementara itu, Ketua ShopeePay Malaysia, Alain Yee berkata kerjasama berkenaan selaras dengan aspirasi negara untuk mempercepatkan proses digitalisasi termasuk dalam bidang pembayaran.
“Kami juga telah mengaktifkan beberapa pilihan kaedah pembayaran bagi PTPTN seperti perbankan atas talian, kad kredit dan debit serta dompet mudah alih kami sendiri,” katanya.
Maklumat lanjut, layari portal rasmi PTPTN di www.ptptn.gov.my. freemalaysiatoday