PTPTN perkenal empat saluran bayaran baharu – Kosmo
PETALING JAYA – Pelanggan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dan Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) kini boleh membuat pembayaran semula pinjaman atau penambahan deposit secara dalam talian menerusi empat saluran bayaran baharu bermula hari ini.
Ketua Eksekutif PTPTN, Ahmad Dusuki Abdul Majid berkata, pengguna juga boleh membuat pembayaran semula pinjaman serta penambahan deposit menerusi aplikasi Shopee, kiplePay, BESTPay dan KelantanPay.
“PTPTN hari ini berbesar hati melancarkan empat saluran baharu bagi memudahkan pelanggan membuat pembayaran semula pinjaman atau melakukan pertambahan deposit secara dalam talian yang sudah pastinya lebih mudah, cepat dan selamat lebih-lebih lagi dalam situasi Covid-19 yang sedang melanda dunia ketika ini.
“Pelancaran empat saluran baharu ini dilihat sejajar dengaan kehidupan di norma baharu ketika ini untuk memudahkan urusan peminjam serta penyimpan PTPTN dan SSPN,” katanya pada program Pelancaran Saluran Bayaran Baharu PTPTN secara langsung di laman Facebook hari ini.
Menurut Ahmad Dusuki, pengenalan saluran bayaran baharu itu turut dilihat sebagai pemangkin kesedaran kepada rakyat Malaysia untuk melakukan pembayaran secara lebih selamat, cepat dan mudah.
“Selain memudahkan urusan peminjam serta penyimpan, pengenalan empat saluran bayaran baharu ini juga dilihat mampu memberi kesedaran tentang pentingnya untuk membuat pembayaran semula serta memupuk budaya menyimpan dalam masyarakat.
“Kami di PTPTN berharap lebih ramai rakyat Malaysia akan lebih peka dan mendaftar dengan penyedia platform yang telah dinyatakan,” ujar beliau.
Dalam pada itu, PTPTN turut melancarkan satu lagi kempen iaitu ‘Clik, Pay and Earn’ yang bermula hari ini sehingga 24 Jun depan.
Sepanjang tempoh kempen berkenaan, pelanggan yang melakukan transaksi pembayaran semula pinjaman serta penambahan deposit berpeluang memenangi hadiah-hadiah menarik daripada penyedia platform pembayaran digital berkenaan.
Difahamkan, 30 pengguna terawal setiap hari yang melakukan transaksi menerusi aplikasi Shopee berpeluang memenangi 2,500 ‘Shopee Coins’ manakala 500 pengguna terawal kiplePAY bakal mendapat ‘cashback’ berjumlah RM20.
500 pengguna terawal BESTPay bakal menerima RM20 dan 200 pengguna berikutnya berpeluang memenangi RM10 manakala 100 pengguna terawal KelantanPay pula bakal menerima RM10 dan RM5 untuk 100 pengguna berikutnya.-K!ONLINE.