PTPTN perkenal empat lagi platform bayaran baharu pinjaman – Malaysia Gazette
KUALA LUMPUR – Bagi memudahkan pelanggan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) membuat bayaran pinjaman dan penabungan dalam Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN), perbadanan itu memperkenalkan empat lagi platform bayarannya.
Ketua Eksekutif PTPTN, Ahmad Dasuki Abdul Majid berkata, penambahan empat saluran itu dilihat sebagai pemudah cara kepada peminjam membuat bayaran selain saluran yang ada sebelum ini.
“Dengan kerjasama ini akan membuka ruang dan peluang bagi PTPTN menjalinkan kerjasama strategik bagi perkongsian kepakaran dan bersama-sama beri kesedaran kepada masyarakat tentang pentingnya tanggungjawab bayaran balik pinjaman PTPTN.
“Langkah ini juga untuk memupuk budaya menyimpan di kalangan ibubapa dan masyarakat,” katanya dalam siaran langsung Facebook pelancaran saluran bayaran baharu PTPTN, hari ini.
Empat saluran bayaran baharu itu adalah BestPay, kiplePay, Shoppe dan KelantanPAY yang boleh digunakan mulai hari ini.
Ia bertujuan untuk menggalakkan orang ramai dan pelanggan PTPTN untuk membuat bayaran balik pinjaman serta penabungan secara tanpa tunai di SSPN.
Jelas Ahmad Dasuki, pembayaran tanpa tunai itu adalah langkah PTPTN untuk mendokong usaha kerajaan kearah pendigitalan penyampaian perkhidmatan kerajaan pasca Covid-19.
“Dengan adanya tambahan saluran bayaran baharu ini, pelanggan PTPTN boleh membuat bayaran pinjaman dan juga menyimpan dalam SSPN secara lebih mudah, lebih cepat dengan menggunakan teknologi di hujung jari,” katanya lagi.
Selain pelancaran platform baharu ini, PTPTN dan empat rakan bayaran baharunya itu turut melancarkan kempen ‘Click, Pay and Earn’ yang khusus kepada pelanggan mereka yang menggunakan platform ini.
Tempoh kempen adalah selama sebulan bermula hari ini sehingga 24 Jun depan.
Pengguna yang menggunakan aplikasi Shopee bagi bayaran balik pinjaman dan tambahan deposit SSPN dengan minimun RM100 dalam satu transaksi, mereka berpeluang untuk ‘cash back’ sebanyak 2,500 syiling Shopee untuk 30 pengguna terawal setiap hari.
500 pengguna aplikasi kiplePay pertama yang membuat bayaran minima RM300 berpeluang untuk mendapatkan ‘cash back’ bernilai RM20, juga 500 pengguna aplikasi Bestpay pertama yang membuat bayaran balik minima RM100 juga berpeluang untuk mendapat wang tunai RM20, dan RM10 kepada 200 pengguna berikutnya.
Pengguna KelantanPAY juga berpeluang untuk mendapatkan wang tunai bernilai RM10 kepada 100 pengguna terawal dan RM5 kepada 100 pengguna berikutnya sekiranya membuat bayaran balik pinjaman PTPTN serendah RM100 mahupun deposit SSPN. – MalaysiaGazette